Wednesday, August 5, 2009

Amalan Kemahiran Abad Ke-21 Dalam P&P

Pembangunan modal insan merupakan satu agenda penting negara bagi mengupayakan kapasiti negara ke arah mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020. Sumber tenaga kerja berilmu (knowledge worker) yang dihasratkan harus memiliki ciri-ciri unggul bagi menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia menjelang 2020. Guru memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang utuh demi untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini.

Modal insan yang ingin dihasilkan perlu juga mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, kemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta dan mempelopori teknologi baru, berdaya tahan, berdaya saing serta mampu menghadapi persekitaran dunia global yang bersifat dinamik dan mencabar.

Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia memiliki ilmu pengetahuan serta kepakaran yang tinggi bagi penyediaan tenaga kerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dalam abad ke-21 ini. Justeru itu, modal insan ini perlu dilengkapi dengan kemahiran komunikasi berkesan, kebolehan mengunakan ICT dengan cekap, keupayaan berfikir secara kreatif dan kritis serta berkemampuan untuk bertindak secara rasional. Di samping itu, perlu juga dipupuk amalan pembelajaran sepanjang hayat, penerapan nilai kerohanian yang suci dan murni serta gaya kepimpinan yang berkesan.

Amalan Kemahiran Abad Ke-21 dalam pengajaran dan pembelajaran amat diperlukan untuk menghasilkan modal insan yang dihasratkan itu. Kurikulum yang digubal akan memberi panduan dan hala tuju yang baik dan sesuai kepada para peserta kursus dalam usaha mereka untuk menjayakan pembangunan modal insan yang sempurna.
Blogged with the Flock Browser

No comments:

Post a Comment